Check out my Ebook & other Digital Products

Showing posts with label single. Show all posts
Showing posts with label single. Show all posts

Tuesday, May 1, 2012

Anda wanita 30-an dan masih single? Berbahagialah kerana..

Entri kali ini hanya ditujukan kepada anda yang memang berhajat, berhasrat dan berniat untuk berumahtangga serta berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh dalam menemukan jodoh demi untuk memenuhi tuntutan Agama.


Saya bukanlah seorang ilmuan, ustazah atau ahli falsafah. Oleh itu, kupasan saya kali ini datangnya dari hati seorang manusia yang bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik dari sehari ke sehari. Oleh itu, sekiranya anda seperti saya, marilah kita mengupas topik ini:-


Wanita seperti kita seringkali di stereotaip kan sebagai wanita yang:-

1. Terlalu memilih
    Mungkin ramai yang mahukan kita tetapi kita mahukan yang terbaik dan terhebat. Kita bukan terlalu memilih, tetapi mencari yang sepadan dan secocok serta sekufu. Masakan jika buah pinang dibelah, sebelah lagi buah oren, mestilah pinang juga, betul tak?

2. Terlalu berkerjaya dan bergaji tinggi.
Dikatakan kerjaya yang bergaji beribu-ribu ringgit sebulan membuatkan kita memandang orang lain tidak sehebat kita. Yang orang tidak tahu, bila kita berjadi besar, tanggungjawab juga sangat besar. Tidak akan suka-suka berbelanja membuta tuli tak tentu hala. Duit kalau susah dapat, tidak mudah dibelanjakan.

3. Terlalu cerdik. 
Dikatakan kalau terlalu cerdik, nanti sisuami tidak boleh mengawal dan menguruskan isteri.

4. Terlalu cantik
Dikatakan wanita yang terlalu cantik tidak dapat menarik cinta kerana ramai lelaki diluar sana yang mempunyai rupa paras yang biasa-biasa sahaja. Jadinya, susah hendak dipadankan.

5. Tidak laku (ini paling menggelikan hati)
Adakah wanita yang belum berkahwin atau berpunya itu seperti barang jualan langsung? Dia dinilai dengan semakin ramai downline, semakin kaya atau semakin laku? Inilah dikatakan pemikiran sampah yang tidak boleh dikitar semula.

6. Tidak cukup berusaha.
Jika jodoh dikatakan harus diusahakan secukupnya, mengapa ada orang yang bertemu jodoh kerana terserempak atau bertemu di dalam lif? Di klinik, di hospital atau dimana-mana sahaja, jatuh cinta dan seterusnya menikah.
Paling menggelikan hati apabila ramai orang mengatakan kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari jodoh tetapi sukar untuk memberikan tip-tip yang praktikal dalam mencari jodoh.Bagaimana yang dikatakan BERSUNGGUH-SUNGGUH dalam pencarian jodoh itu?

Apakah disebabkan kita sudah berumur 30-an, kita harus merayu-rayu dan mendesak seseorang untuk menjadi pasangan kita? adakah dengan memperagakan diri kita di mana-mana pesta, keramaian, kedai kopi, bersidai di shopping complex, keluar dengan entah mana-mana lelaki yang tidak tentu hala dikatakan berusaha? Adakah dengan bertukar-tukar pasangan dikatakan laku dan saham tinggi itu mengikut kehendak Allah?

Anda fikirlah sendiri.


Tapi saya tidak hairan dan saya maafkan akan kecaman masyarakat yang mengatakan orang seperti kita begitu begini. Ini kerana tiada siapa pun didalam masyarakat itu mengenali diri kita sebenarnya, apa yang kita lalui dan apa yang kita tempuhi, oleh itu mengapa kita harus berkecil hati dengan apa yang dikatakan tentang kita? Asalkan hubungan kita dengan Pencipta kita sentiasa baik dan bahagia, sudah memadai...lupakan yang lain...


 Pendapat saya, sekiranya kita ingin menemukan jodoh tetapi dengan cara yang mengundang kemarahan Allah subhanawataala, lupakan saja lah. Ini kerana, secara peribadi saya yakin yang JODOH PERTEMUAN itu tentukan oleh Allah. Hanya Allah yang tahu.

Mari kita tukar cara kita berfikir.

Sekiranya anda wanita yang masih single dan sudah berumur 30-an, berbahagialah!!!

 Ini adalah kerana:-

1. Anda berpeluang untuk terus-menerus mendapat pahala kerana Berdoa tanpa henti.
   Cuba anda bayangkan pahala yang anda perolehi demi kerana anda bersabar dengan ujian belum bertemu jodoh anda? Jika anda telah berdoa selama 6-8 tahun, teruskan berdoa. Memang memenatkan tetapi jangan pernah berhenti! Tidakkah anda perasan bahawa lebih lama anda bersabar, kelihatan anda menjadi lebih bersabar? Kita di uji dengan pelbagai ujian hidup. Elemen yang membuatkan kita masih bertahan ialah kesabaran. Bersyukurlah anda diuji dengan kesabaran menunggu jodoh anda datang, orang lain diuji dengan kesabaran belum mempunyai anak, penyakit kronik, kemusnahan harta benda dan sebagainya.

2. Anda tidak berpacaran membuta tuli, maka anda mengundang redha Allah subhanawataala.
Terdapat satu pandangan masyarakat yang merosakkan. Ini kerana mereka berpendapat bahawa untuk menemukan jodoh, wanita dan lelaki haruslah berpacaran, try testing, test drive dan sebagainya. Apa? ingat kita ini kereta ke? Dikatakan kita harus berkenalan dan keluar berdating selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun, barulah dikatakan boleh berumahtangga. Bagaimana pula dengan nenek moyang kita? Mereka tidak pernah berjumpa dengan pasangan masing-masing sebelum berkahwin, tetapi bahagia. Buktinya kewujudan kita dimuka bumi ini adalah dengan kebahagiaan hidup mereka itu. 

Juga, pendapat yang biasa kita dengar ialah berpacaran boleh membuatkan kita saling faham-memahami, kenal-mengenali, yakin-meyakini. Realitinya, ramai yang bercinta setengah pengsan sebelum kahwin, tetapi setelah berkahwin berlumba-lumba pula hendak bercerai. Saya pernah mendengar dicorong radio tentang statistik perceraian di Selangor, 42% pasangan Muslim yang bercerai adalah yang umur perkahwinan yang kurang dari 5 tahun. Cuba bayangkan.

3. Anda dapat mengenali dan membina keyakinan diri anda.
Apabila anda yakin diri, anda yakin anda dapat membahagiakan bakal suami anda. Itu sudah pasti.
Ini kerana anda sudah tahu kekuatan yang anda ada dan anda tahu kekuatan bakal suami yang bagaimana dapat melengkapkan diri anda. 

Yakin diri adalah hasih dari kerendahan hati kita. Kita faham akan kekuatan dan kelemahan kita dan kita sedar kita memerlukan Allah disetiap waktu dan saat. Kita tahu setiap nafas, langkah dan detik jantung kita adalah pemberian Allah, Pencipta kita. Oleh itu apabila kita yakin diri, kita juga yakin Allah akan memakbulkan doa kita.

4. Anda dapat menjaga ibu bapa dan adik-beradik anda lebih lama lagi.
Sambil berusaha bersungguh-sungguh dan menunggu hasil penemuan jodoh kita, kita dapat menikmati kasih sayang ibu bapa dan adik beradik kita  secara total.

Memang anda belum bertemu jodoh, tetapi anda tidak pernah kurang kasih sayang keluarga dan teman-teman anda. Mengapa perlu bersedih hanya kerana belum bertemu dengan jodoh anda?


5. Anda dapat menimba lebih banyak ilmu sebagai persediaan perkahwinan dan berkeluarga.
Kita masih boleh lagi menjadikan cerita-cerita dan pengalaman-pengalaman perkahwinan kawan-kawan kita, ahli keluarga kita dan kenalan-kenalan kita sebagai tauladan dan pengajaran. Semua yang baik boleh diaplikasikan dan semua yang tidak baik boleh dijadikan tauladan untuk menjadi bekal dalam kehidupan rumahtangga kita nanti. Kita masih ada masa mencari ilmu tentang bagaimana menjadi isteri dan teman yang baik buat bakal suami kita nanti. Kita akan jadi tahu tentang tanggungjawab kita sebagai isteri dan apa tanggungjawab bakal suami kita.


6. Anda masih boleh berangan-angan akan rupa paras dan personaliti bakal suami.
Ini yang paling best. Kita masih boleh berfantasi sedikit mengenai rupa paras bakal jodoh kita nanti. Tetapi ingat, kemungkinan besar rupa paras jodoh kita saling tak tumpah macam rupa paras kita juga. Anda tak percaya? Melalui pemerhatian peribadi saya sendiri, hasil dari pemerhatian di shopping complex, pasaraya besar dan di taman-taman rekreasi, hampir kesemua pasangan kelihatan hampir sama atau mempunyai iras yang sama.

Ada pasangan yang wanitanya sangat cantik, di gandingkan dengan lelaki yang sangat kacak. Ada pasangan yang selekeh sama selekeh, kemas sama kemas, sama tinggi, sama iras senyumannya, sama seliparnya, sama jenis t-shirt nya. Persamaan boleh dilihat dengan jelas dari sudut fizikal. Mungkin anda akan kata ada juga wanita yang jelita, tetapi pasangannya Masyaalah tak hensemnya. Anda jangan tertipu, ada wanita yang suka ber make-up tebal dan glamour, cuba anda bayangkan sekiranya tanpa make-up, wanita itu pasti kelihatan tidak jauh paras rupanya dari pasangannya yang tak hensem itu. :)
 

Baiklah, mungkin kita semua pernah bercinta tetapi cinta kita yang dahulu sangat singkat dan tidak kesampaian. Kita hanyalah manusia yang tidak lekang dari berbuat dosa dan melakukan kesilapan. Kadang-kadang kita tersalah langkah atau tersalah kata juga. Tetapi, apa yang paling penting sekarang ialah kita SENTIASA BERUSAHA MENJADI MUSLIMAH YANG LEBIH BAIK di mata Allah Subhanawataala jika kita ingin dijodohkan dengan lelaki idaman kita. Memang bukan kerja mudah tetapi kita tidak ada pilihan lain, kita harus merayu-rayu, merintih, mengadu dan menangis meminta pertolongan Allah untuk bertemu jodoh.Setiap hari didalam solat kita, kita merayu Allah didalam bacaan surah Al-Fatihah, 'Hanya Allah Tuhan yang disembah dan hanya pada Allah kita meminta pertolongan'. Hanya minta tolong dari Allah.

Untuk kita meraih cinta bakal suami yang Soleh, kita haruslah meraih cinta Allah dahulu. Barulah Allah akan menghantar dan menemukan suami idaman kita itu.

Yang terakhir sekali, kita harus menikmati proses pencarian jodoh kita itu. Pada saya, proses mencari dan menemukan itu sangat menyeronokkan. Kita berkenalan, menganalisa, menafsir, memadan dan mengenalpasti. Doa saya untuk anda diluar sana dan juga untuk diri saya ajar kita semua ditemukan dengan jodoh yang mana hatinya terpaut pada Allah dan mencintai dia membuatkan kita lebih mencintai Allah Subhanawataala.

Jangan lupa, berbaik sangka pada Allah! 'and Remember Allah is Amazing and He will send us amazing husbands!!!!' Ameen....


Hakmilik Terpelihara Rosita Arman Michael 2012