Check out my Ebook & other Digital Products

Showing posts with label sayang. Show all posts
Showing posts with label sayang. Show all posts

Thursday, September 1, 2016

Tentang jodoh itu memang misteri- Jumpa di Mahkamah



Kisah benar...
Satu hari Lolita ke mahkamah untuk mendapatkan perintah wali hakim. Di mahkamah, kes-kes yang berlangsung menggabungkan kes dua mahkamah kerana Hakim mahkamah sebelah cuti.
Setelah menunggu sehingga tengahari, mahkamah umum untuk berehat sehingga pukul 2 petang . Marahnya dan menyampahnya hati si Lolita, Allah sahaja yang tahu.
Si Lolita membawa ibu serta adik bongsunya yang terpaksa mengambil cuti kerja untuk menemaninya. Si adik bongsu muka nya mencuka lah sepanjang pagi hingga ke tengaharinya. Walaupun terpaksa mengambil cuti, si adik bongsu sangat gembira dan sanggup ikut kerana akhirnya kakaknya bertemu jodoh.
Semasa makan tengahari,  Lolita, ibu dan adiknya duduk bersama seorang wanita  yang juga bersama ibunya yang kebetulan kesnya hanya akan di sebut sebelah petang. Sambil makan dan berbual-bual, wanita yang bersama ibunya itu berkenan dengan adik bongsu si Lolita tadi dan meminta kebenaran untuk dikenalkan dengan anak bujangnya.
Setelah hari itu, cerita temu jodoh si adik bongsu Lolita pun bermulalah....
Nah siapa sangka kakak yang hendak mendapatkan wali hakim, akhirnya adik  ditemukan dengan bakal ibu mertuanya...
Moral ceritanya, Hanya Allah yang menemukan, kita hanya bersiap sedia kerana kita tidak akan tahu bila, dimana dan dengam siapa kita ditemukan...
Menakjubkan bukan?
Itulah kuasa Allah. Oleh itu sentiasa siap sedia, jodoh ditemukan bila-bila masa!
Copyright by Michael Rose September 2016

Thursday, July 28, 2016

Nak temu jodoh? Mulakan dengan mengemas rumah....


Mengemas rumah adalah satu tanggungjawab kita sebagai seorang manusia. Bagaimana mungkin kita akan ditemukan dengan jodoh jika bilik tidur kita bersepah dan hanya dikemas seminggu sekali? Lebih teruk lagi, berbau busuk.

Mulakan dengan rajin mengemas bilik tidur dan bilik mandi selalu. Kemudian ruang tamu dan dapur. Kebersihan adalah separuh dari iman.

Apa itu iman?

Iman adalah percaya dengan yakin kepada Allah. Kita yakin yang Allah sedang memerhati dan Allah akan membalas segala tindakan kita. Apabila rumah bersih, barulah ada keselesaan, bila sudah selesa, kita akan rajin beribadah. Bila rajin beribadah, barulah kita rajin berdoa, apabila rajin berdoa, YAKIN Allah akan makbulkan. Barulah Jodoh kita akan menuju kita mengikut GPS yang betul.

Ada kata-kata yang menggelikan hati dimana lelaki-lelaki bujang mengatakan bila sudah berumahtangga nanti, isteri akan menjaga rumah dan makan minum mereka. Bagaimana mungkin akan mendapat isteri yang rajin dan disiplin mengemas rumah jika lelaki tersebut mengemas bilik 3 bulan sekali? Orang pembersih pasti tertarik dengan orang pembersih. Jika ada yang sebaliknya, kemungkinan besar salah seorang memang mahu berubah untuk menjadi pembersih kerana penat menjadi pengotor.


Pendek kata, Jodoh akan datang bila kita betul-betul bersedia.

Kita tidak akan tahu bila dan dimana akan ditemukan. Tetapi yang pasti, sebaik sebelum dipertemukan dengan JODOH kita, kita sudah menjadi rajin mengemas, suka menolong orang dalam kesusahan, sentiasa bersedekah, selalu senyum, berbuat baik pada ibu bapa dan keluarga. Mengambil berat akan orang disekeliling kita dan sebagainya.


Allah memerhati samada kita bersedia atau tidak untuk menggalas tanggungjawab besar dalam hidup kita iaitu membina keluarga dan membawa mereka ke Jannah bersama-sama.

Oleh itu, Jom mula kemas rumah!


Wednesday, April 11, 2012

Tip untuk memulihkan hati yang sedih

Pernahkah anda mengalami kesedihan yang amat dasyat sehinggakan badan berasa longlai, minda berhenti berfikir, hati terasa seperti ditusuk seribu duri, bahu tidak terangkat dan pandangan anda terhadap dunia terus gelap gelita? 

Apabila kita kehilangan orang yang tersayang, orang yang amat dicintai ataupun kehilangan sesuatu yang amat di hargai merasakan dunia dan masa seakan-akan berhenti. 

Kita jadi hilang.
Kita jadi kaku.
Kita membenci dunia, tidak mahu berkerja, tidak mahu berkawan dengan sesiapa.

Didalam entri kali ini, saya ingin berkongsi tip-tip bagaimana untuk keluar dari kesedihan dan pulihkan hati anda. Tip-tip ini sangat mujarab jika kita bersungguh-sungguh ingin hati kita pulih malah lebih gembira dari sebelum dilanda kesedihan yang kita  sedang alami.

Mari ikuti tip-tip ini:-

1.Beri makanan pada roh anda dengan Solat bertubi-tubi, Berdoa tanpa henti, membaca Al-Quran sehingga muka rasa kebas dan lenguh gusi.

Misi anda adalah untuk MEMULIHKAN HATI. Bukan meratap, meraung atau merayu-rayu sehingga separuh gila. Hanya dengan hati yang cepat pulih, kita boleh memulakan dan menjalani hidup bahagia seperti sediakala. Ingat, apabila kita meratap dan merana, kita juga menyeret keluarga kita didalam alam kesedihan kita.

Untuk hati cepat pulih, mulakan dengan terus BERLARI KEARAH ALLAH S.W.T

Minta tolong kepadaNya dengan dirikan solat dengan sepenuh jiwa dan raga, mulakan dengan solat Taubat meminta ampun setiap pagi dan petang, siang dan malam.Apabila ditimpa sesuatu kejadian yang menyedihkan seperti putus cinta, berdoa bersungguh-sungguh supaya diberikan petunjuk oleh Allah.

Mungkin anda akan bertanya apa kena mengena bertaubat dengan ujian yang menimpa kita? Kita diuji kerana untuk membasuh dosa-dosa kita, untuk mengingatkan kita yang kemungkinan besar kita telah lalai, leka atau jauh dari Allah. Hanya dengan meminta ampun dan bertaubat bersungguh-sungguh, pintu kebahagian dan rezeki akan mula terbuka sedikit demi sedikit dan menjadi lebih hebat dan besar akhirnya.



2. Berhenti merintih, merayu dan merungut kepada orang lain.

Kita hanya patut merintih, merayu dan merungut pada Pencipta kita, Allah subhanawataala.
Jika kita merayu, merintih dan merungut pada orang atau erti kata lain makhluk Allah, yang kita akan pasti dapat hanyalah kekeliruan, kebencian, kepenatan dan kecelaruan minda. Ini adalah kerana memandangkan anda masih didalam keadaan terkejut apabila ditimpa masalah yang tidak disangka-sangka seperti ditinggalkan orang yang anda sayangi tanpa sebab yang kukuh, anda memerlukan ketenangan hati dan minda jika anda ingin pulihkan hati anda. 

Caranya HANYA bercakap-cakap, merintih dan menangis kepada Allah. Mungkin anda akan bertanya bagaimana nak bercakap-cakap dengan Allah? Kita asyik bertanya tetapi tidak mendapt jawapannya. Masalahnya kita bertanya pada saluran yang salah, oleh itu bertanyalah pada saluran yang betul iaitu Allah. Selepas anda bertanya Allah, Dia akan memberikan jawapan dalam bentuk ketenangan hati. Setelah beberapa waktu bertanya dan menunggu jawapan dari Allah, hati kita akan menjadi tenang dan minda tidak lagi bercelaru.

Jangan sekali-kali kita menyalahkan sesiapa. Jika kita berbat demikian, kita akan mula meratap, kecewa dan akhirnya membenci hidup ini dan harapan mula mati. Jika dibiarkan, jiwa kita akan mati dan kita hilang didalam kesedihan, maka Syaitan memenangi pertarungan tanpa bertanding kerana kita tidak mahu meneruskan hidup ini.

Satu lagi yang amat penting, BERHENTI aktif dilaman sosial! Tinggalkan dunia online! Anda akan berasa lebih bahagia dan mudah untuk memulihkan hati anda, ini kerana anda HANYA FOKUS kepada PEMULIHAN HATI anda, bukan kepada cerita-cerita orang lain.


3. Bersyukur yang anda masih bernafas, masih boleh bergerak dan berfikir.

Allah s.w.t yang memberikan anda kehidupan. Setiap nafas, setiap denyutan jantung dan aliran darah, setiap organ didalam badan anda adalah milik Allah. Jangan kerana impian anda musnah untuk mengahwini seseorang, anda dengan sengaja terjun didalam kesedihan dan membiarkan diri anda disitu. 

Sebagai contoh, anda meratapi keadaan anda kerana ditinggalkan seseorang. Seharusnya anda bersyukur dan berterima kasih kepada orang yang meninggalkan anda kerana rupa-rupanya Allah telah menyediakan jodoh yang jauh lebih hebat, lebih sesuai, sepadan, secocok dan sekufu dengan anda.

Anda mempunyai keluarga yang penyanyang dan menyokong anda didalam apa jua yang anda lalui. Hargailah orang-orang dikeliling anda dengan berusaha untuk keluar dari kesedihan. Hentikan sifat mementingkan diri sendiri. Jika anda berterusan menangis, percayalah ibu bapa dan adik-beradik anda juga menangis sama. 


4. Baca buku motivasi, ilmu Islam dan inspirasi.

Cari buku-buku dan bacalah tanpa henti. Penuhkan minda dan hati anda dengan setiap perkataan yang membuatkan hati anda bergetar dan hidup. 

Baca buku-buku yang membina dan memberi inspirasi. Baca buku-buku tentang perjuangan, kejayaan dan kebangkitan dari kesengsaraan dan kegagalan.

Jangan biarkan hati dan minda anda dipenuhi dengan persoalan ' kalaulah aku begini dan begitu, kalaulah aku buat ini dan buat itu....' pasti ini takkan berlaku....Percayalah persoalan sebegini akan membuat kita lebih gila dan meracau.


Jauhi buku-buku kisah cinta yang tidak kesampaian dan mendengar lagu-lagu yang meratapi kehilangan, kesedihan. Ini hanya akan merobek luka dihati anda dan menjadi lebih parah, berlaku pendarahan yang amat dasyat lagi.

 Ingat, misi kita adalah supaya HATI KITA PULIH SEPENUHNYA.

Hanya dengan membaca, minda anda akan berterusan menjana pengharapan dan kebahagiaan. 


5. Bersedekah dan terus bersedekah

Percayalah, bersedekah akan memberikan kita satu kepuasan tanpa kita sedari. Mungkin akan ada yang bertanya, dah lah dalam kesedihan, duit pulak harus disedekahkan, lebih sedih dibuatnya.

Anda silap. Dengan bersedekah, anda membersihkan jiwa anda. Bila hati dah jiwa semakin bersih, mudah untuk kegembiraan dan kebahagiaan hinggap dihati anda.


PERINGATAN!
Hati anda akan pulih mengikut KESUNGGUHAN ANDA, usaha kesungguhan yang separuh hati akan memberikan hasil pemulihan yang separuh juga. Usaha kesungguhan yang sepenuh jiwa dan raga akan menjanjikan kesembuhan dan pemulihan hati yang TOTAL, InsyaAllah anda akan berjaya.


Ayuh, hati anda boleh dipulihkan dan anda boleh berubah menjadi manusia yang disayangi Allah dan dihormati oleh orang disekeliling anda.

Jadilah cahaya yang terang dan cantik, jadilah udara yang nyaman dan bersih. Pulihkan hati anda dan segala-galanya akan pulih bersama, InsyaAllah....




Hakmilik Terpelihara Rosita Arman Michael 2012






Monday, March 12, 2012

3 mitos percintaan


Anda juga seperti saya pernah merasakan betapa seronoknya bercinta dengan orang yang amat kita cintai. Terasa seperti dunia ni kita yang punya. Tetapi, tidak semua yang dikatakan dan diwar-warkan oleh pasangan bercinta boleh di terima pakai atau pun di percayai. Anda tak percaya? Mari kita selongkar 3 mitos yang saya rasakan ada kaitannya dengan tajuk entri kali ini.


Mitos 1
Berpegang kepada pepatah 'makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah'.

Bagaimana mungkin orang yang bercinta tak kenyang bila makan? Buktinya, setiap kali makan semasa temu janji pasti mencari tempat yang makanannya menyelerakan. Tidak cukup dengan itu, dicari pula pencuci mulut, kemudian buah-buahan potong. Tidak pernah pula kita bertemu janji di restoran yang menyajikan makanan sihat sahaja, atau makanan yang berasaskan sayuran organik? Paling tidak pun, kalau duduk berseorangan dirumah jika tidak bertemu janji, mee segera tom yam pun dirasakan sedap sehingga dihirupnya kuah sampai licin. Nah...bagaimana mungkin makan tak kenyang diguna pakai?

Jika melibatkan soal tidur, sebaik sahaja menerima sms cinta dari sidia, terus peluk bantal dan tertidur, betul tak? Beralih pula kepada mandi tak basah, sebelum bertemu janji, pasti kita mandi bersungguh-sungguh. Segala sabun mandi dan syampu dilumur kerana ingin pastikan kita sentiasa harum, betul tak?

Oleh itu, pepatah ini hanya sesuai dilabelkan kepada pasangan suami isteri yang baru bergelar ibu ayah. Ini kerana bila ada anak yang masih bayi, barulah makan tak kenyang (sebab kena bergilir-gilir makan sambil jaga bayi), tidur tak lena ( ke pejabat dengan mata merah dan bengkak) dan mandi tak basah (sebab hendak pastikan bayi tidak bangun atau terjatuh dari buaian).


Mitos 2
 Perbualan sentiasa lancar dan hangat. 

Memang benar diawal percintaan pasangan bercinta tidak pernah kering idea untuk dijadikan topik perbualan. Tidak cukup dengan bergayut ditelefon, sms, ym, skype dan sebagainya, bila berjumpa ada sahaja topik yang hendak diceritakan. Diselitkan pula sajak-sajak romantis, puisi cinta lentok tahap pengsan. Dirasakan seperti pasangan kita itu sentiasa berminat dengan apa yang kita ingin sampaikan atau tidak sabar-sabar untuk mendengar kita bercerita. Tetapi hakikatnya, terkadang kita pun berasa bosan dengan cerita pasangan kita kerana topik yang sentiasa sama. Cerita semalam dengan hari ini serupa, jalan cerita pun serupa. Hendak di tegur supaya ditukar topik, takut kecil hati pula hati sidia. Kalau tak ditegur, telinga rasanya hampir nak berdarah mendengar ceramah sama. Akhirnya, kelihatan kita seperti mendengar dengan mengangguk-angguk, tetapi hakikatnya kita bukannya mendengar. Saya pasti anda juga pernah menghadapi situasi ini kan?

Kadang-kadang sms pula cerita yang sama, sampaikan kita kering idea bagaimana nak membalas sms sidia sedangkan kita sudah ketahui jawapan kepada soalan sidia.


Mitos 3
Mencintai sidia yang tercinta mengatasi segala cinta.

Benarkah apabila kita bercinta, adakah itu sahaja cinta terhebat? Sudah pasti bukan.
Ini kerana hati yang ada dalam diri kita ini, yang mana merasakan nikmat percintaan ini adalah  milik Tuhan sekalian alam Allah sw.t, Dia yang memberikannya dan dia juga yang boleh mengambilnya semula.

Pernahkan anda mencintai seseorang sehinggakan anda mula berasa takut sekiranya berlaku apa-apa, anda tidak mungkin dapat hidup atau bertahan lama didunia ini? Jika anda terlalu mencintai Makhluk Allah, itulah yang anda rasakan.

Cinta sebenar yang mengatasi segala cinta dimuka bumi ini adalah mencintai Pencipta anda sendiri. Tuhan sekelian alam yang menyuntik rasa kasih sayang dan cinta dihati kita. Buktinya, walaupun kita saling mencintai dengan pasangan kita, cinta mereka tidak dapat membahagiakan kita setiap saat dan tidak dapat memenuhi rasa sunyi diseluruh sudut hati kita. Adakalanya kita memerlukan masa untuk bersendirian walaupun kita tahu sidia amat mencintai kita dan sanggup buat apa sahaja untuk kita. 

Tetapi, jika anda mahukan kebahagian hati secara total dan berterusan disetiap waktu, bercintalah dengan Allah dan jika anda dilamun cinta, bercintalah dengan pasangan anda kerana Allah. Bercinta dengan sidia yang mencintai Allah adalah bonus kehidupan yang pasti dapat melengkapkan diri anda.


 


Hakmilik Terpelihara Rosita Arman Michael 2012















Sunday, October 16, 2011

Malu untuk menutup aurat

Terkenang semasa zaman persekolahan
sekolah menengah zaman penuh kegembiraan
fesyen rambut dan baju yang kemas menjadi kegilaan
hari-hari bergaya dengan penuh perasan
ramai rakan-rakan, seronok makan dan always having fun

Zaman itu, memang aku sudah mula sayangkan Allah
aku mendirikan solat dan mengaji,
tapi menutup aurat fuh jangan sekali.
masuk surau disekolah memakai skirt dengan selambanya
sebab aku memang tidak ingin merosakkan fesyen rambut dengan menutupinya

orang yang paling aku benci adalah ustazah yang mengajar Agama
mata menjeling bila melihat kelibatnya
jambul yang cun terpaksaku tutup
sebab dikelas agama kena pakai tudung litup

sepanjang kelas Agama hati resah gelisah
pandangan orang terhadap rupaku sangat aku kisah
yang ditunggu adalah waktu loceng berbunyi
terus aku tarik tudung laju sekali
waktu itu apa yang aku benci sangat
ialah aku malu untuk menutup aurat

ironinya hidup ini
aku embrace apa yang aku benci
menutup aurat dengan lengkap
sayangkan Allah aku berubah sikap

Inginku seru kepada wanita Islam semua
buktikan kita sayangkan Allah dan bersyukur dengan pemberianNya
dengan menutup aurat sepenuhya

Jika kita mencintai Allah
tutuplah aurat anda keranaNya..



pengemis ilmu, Rosita


Hakmilik Terpelihara Rosita Arman Michael 2011




 















Sunday, July 10, 2011

Anda menarik apa sahaja yang anda fokuskan..

Pernahkah anda mengalami sesuatu situasi, mendapat sesuatu atau bekerjasama dengan orang  yang paling anda benci?

Pernahkah anda terfikir mengapa anda menarik apa yang anda benci?

Nah, itulah apa yang di maksudkan dengan hukum tarikan yang dikupas di dalam buku Law of Attraction dan The Secrets, anda HANYA menarik apa sahaja yang anda fokuskan, minda dan hati kita tidak memahami samada kita menyukai atau membenci sesuatu, yang minda dan hati  kita fahami adalah SUBJEK yang sentiasa berada di dalamnya.....

Saya rajin juga mengambil tahu tentang bagaimana hati dan minda memberi kesan kepada apa yang kita alami.  Rupanya penulis kepada Law of Attraction dan The Secrets sebenarnya menceritakan semula tentang kekuasan DOA dan TAWAKKAL.


Dia memberitahu bahawa kita hanya perlu memfokus kepada apa yang kita mahukan, dalam erti kata lain ia mengajak kita untuk berdoa untuk apa sahaja hajat kita.

Didalam buku-buku tersebut, ia menceritakan bagaimana apa yang kita fokuskan akan datang kepada kita perlahan-lahan. Walaubagaimanapun, penulis-penulis itu mengatakan yang mendengar dan memakbulkan adalah alam semesta, bukan Pemilik alam semesta tersebut. Mereka tersebut tidak menyedari bahawa yang memakbulkan adalah Tuhan sekelian alam, Allah subhanawataala.

Pernahkah anda berdoa untuk sesuatu yang ada sangat inginkan, tetapi anda berhenti untuk berdoa lagi untuk sesuatu itu kerana anda menunggu terlalu lama sehinggakan anda terlupa tentang doa tersebut? Tiba-tiba, tanpa dijangka, doa anda dimakbulkan Allah?

Saya juga baru sahaja memahami, bahawasanya semasa kita mula berdoa, diibaratkan kita sudah memetik suisnya, sebaik sahaja ia dipetik, apa yang didoakan akan datang, cuma masa, bila, bagaimana hanya diketahui oleh Allah. Saya juga memahami bahawa 'timing' atau masa yang doa kita dikabulkan oleh Allah adalah masa yang TERBAIK. Yang pasti, selama ini saya pasti diri anda dan saya juga telah mendapat apa yang dihajati selama ini.

Pernahkah anda berfikir yang apa kita doakan selama ini, bukan sahaja Allah makbulkan, tetapi Allah memberi yang lebih hebat dan yang lebih sesuai dengan keadaan kita, masa kita dan sifat-sifat kita?
Saya sentiasa mengagumi Allah kerana selama ini DIA memberikan yang lebih baik dari apa yang saya doakan.

Didalam buku-buku tersebut itu juga memberitahu bahawa kita haruslah bersabar dan memberi masa untuk sesuatu yang kita minta itu mekar atau matang. Bukankah ini bermaksud  kita harus bersabar dan bersyukur dengan apa yang ada walaupun doa belum dimakbulkan?

Percayalah yang anda akan mendapat apa yang anda hajati. Itulah yang cuba disampaikan oleh buku The Secrets dan Law of Attraction. Rahsianya adalah keyakinan mutlak dan pengharapan yang tidak pernah putus terhadap kekuasan Tuhan sekelian alam...Allah subhanahuwataala... 

Itu sahaja ulasan buat masa ini, nantikan ulasan-ulasan baru....terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca ulasan ini...




Dari pengemis ilmu, Rosita Michael