Check out my Ebook & other Digital Products

Saturday, May 21, 2011

Tahniah kerana anda sudah berubah!

Tahniah saya ucapkan kepada beberapa pelajar wanita muslim yang pernah saya ajar dahulu. Terasa seperti saya pula yang melalui perubahan yang mereka lalui. Pelajar-pelajar ini memang saya boleh katakan penuh dengan semangat dan kesungguhan didalam pelajaran dan kehidupan mereka. Mereka berpotensi didalam mencapai apa sahaja yang mereka mahukan kerana memiliki sifat yang cemerlang.

Semasa mengajar mereka, terdetik didalam hati saya alangkah indahnya jika mereka boleh menjadi lebih cemerlang sekiranya mereka berpakaian mengikut syariat Islam. Sesekali saya mengingatkan diri saya dan mereka supaya bersama-sama memperbaiki cara pemakaian mengikut apa yang Pencipta kita wajibkan keatas kita semua.

Melihat mereka berubah, teringat sewaktu saya berada di sekolah menengah. Saya memakai pakaian seragam sekolah berskirt, bukannya berbaju kurung. Saya hanya mula berbaju kurung kesekolah semasa saya berumur 16 tahun.

Masih teringat di tingkatan 2, orang yang paling saya benci adalah Ustazah saya. Di waktu itu saya dengan terseksanya terpaksa memakai tudung putih didalam kelas Agama. Bayangkan memakai pakaian seragam sekolah berskirt, berkemeja putih di padankan dengan tudung. Bila saya ingat semula, betapa bodohnya saya memakai pakaian sebegitu, sesekali ketawa sendiri. Di waktu itu, rambut saya adalah segala-galanya. Rambut saya diikat kemas dan saya paling sayangkan sikat saya. Sekarang baru saya perasan betapa lucunya kerana menyikat rambut tidak kira waktu, dalam kelas, di kantin, rasanya macam gaya orang gila.

Didalam kelas agama, 30 minit dirasakan seperti 3 hari kerana terasa seperti rambut saya di bungkus. Terasa rimas sekali. Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan masuk waktu untuk matapelajaran lain, sepantas kilat saya menarik tudung dikepala saya dan mula menyikat rambut. Saya masih ingat cara Ustazah saya memandang saya dengan pandangan menyampah. Pada masa itu saya rasakan, 'rambut aku, aku punya sukalah!. Apa tengok-tengok? Tak puas hati ke?' Begitulah perasaan saya seorang remaja yang memberontak kerana disuruh tutup aurat di dalam kelas agama. Mak ayah pun tidak pernah menyebut tentang menutup aurat, bagaimana pula saya mengikut kata-kata Ustazah saya?


Saya tidak pasti sejak bila hati saya terdetik untuk menutup aurat. Tetapi yang saya tahu, saya mula menutup aurat semasa di tingkatan 6, saya adalah orang pertama menutup aurat di dalam keluarga saya. Juga seingat saya, saya mula memakai tudung kerana perlahan-lahan saya mula menyayangi Allah. Saya berfikir, saya menikmati segala-galanya yang Allah berikan, apa salahnya saya membalas kasih sayang Allah dengan menutup aurat iaitu mengikut apa yang diwajibkan keatas saya.

Selama bertudung, terkadang saya terleka memakai dengan tidak memenuhi standard yang ditetapkan. Sesekali leka memakai pakaian yang ketat, walaupun saya tahu cara saya menutup aurat salah, tetapi terpengaruh dengan aliran fesyen yang melekakan. Apa yang saya cuba sampaikan adalah menutup aurat itu adalah merupakan satu proses, ianya memerlukan kesedaran dan kesanggupan yang berterusan. Hanya dengan menyayangi Allah, kita akan sanggup dan memberikan komitmen yang terbaik, cintai Allah menyebabkan kita menyayangi diri kita dan seterusnya disayangi orang lain juga.


Juga, berbalik semula kepada para pelajar saya yang sudah berubah untuk mendapat kasih sayang Allah, ia membuktikan yang hati kita ini boleh di bolak balikkan oleh Allah. Mungkin suatu masa dahulu, kita membenci untuk menutup aurat (seperti kisah saya), tapi tidak mustahil yang kita akan mencintai gaya hidup menutup aurat.

Kepada Haidar, Nurul, Janet, Syahirah dan juga mana-mana pelajar saya yang bakal menutup aurat, mari sama-sama kita melakukan yang terbaik kerana Allah.

Welcome to the club you all!!!











No comments:

Post a Comment