Check out my Ebook & other Digital Products

Tuesday, July 10, 2018

3 Perkara Hebat tentang Brunei Darussalam


Assalammualaikum semua,

Sudah lama juga saya tidak menulis di blog saya ini. Minggu lepas saya baru balik dari Brunei Darussalam. Negara dimana adik kembar saya bermastautin selama hampir 14 tahun. Dia berkahwin dan bekerja disana. Saya juga pernah bekerja disana sebagai Pensyarah selama 2 tahun pada tahun 2007 dulu. Setelah itu , terpaksa balik ke Selangor kerana ingin menlanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.

Fastforward ke awal tahun 2018, saya membuat keputusan untuk berhenti mengajar seketika untuk de-tour kearah seni kreatif iaitu seni Hand-Lettering atau Modern Calligraphy. Saya mula menjalankan workshop hand-lettering di Selangor dan di Brunei.

Oh ya, tujuan saya kesana minggu lepas adalah mengadakan kelas hand-lettering.

Berbalik semula tentang Brunei, melalui pemerhatian saya dan entah berapa kali sudah saya melawat negara itu, saya dapati ada 3 perkara yang hebat tentangnya yang patut saya war-warkan.

Pertama,

Udara bebas asap rokok.

Siapa yang tidak menyukai udara segar tanpa asap rokok? Manusia biasa yang berhati perut pasti sukakannya. Di Brunei, jika mahu merokok ada tempat-tempatnya. Tempat larangan seperti ditempat awam dan sudah semestinya di kedai-kedai makan. Hebatnya, tidak satu pun kedai makan disitu terdapat orang yang merokok. Ini kerana tuan kedai akan di denda sehingga beribu-ribu dolar jika ada pengunjung tempat makan mereka didapati merokok.

Alangkah nikmatnya menikmati makanan tanpa asap rokok.


Kedua,

Kedai/ gerai makan/ pasar yang sangat bersih.

Terdapat pasar tamu di Gadong yang dinobatkan antara yang terbersih di Asia Tenggara. Jika anda pernah ke Pasar Tamu Gadong ini, anda pasti tahu. Gerai-gerai makanannya bersih, kering dan amat mendamaikan. Harga makanannya sangat berpatutan untuk pengunjung luar negara dan sangat murah untuk pengunjung tempatan. Di kedai-kedai makan pula, kawasan sinki basuh tangan sangat bersih.  Lorong-lorong belakang kedai/restoran kelihatan begitu bersih. Tidak berkulat, tiada air takungan, tiada sampah dan bau. Dapur-dapur dapat dilihat dari luar, juga sangat bersih.


Ketiga,

Hampir tiada bunyi hon kereta di atas jalan raya atau jalan-jalan biasa.

 Jika ada bunyi hon sekalipun, ianya hanya untuk keselamatan dan yang biasa bunyikan hon adalah rakyat negara jiran. Jika anda bunyikan hon, ada sesuatu yang tidak kena pada anda. Di basement parking atau tempat parking, orang tidak langsung membunyikan hon walaupun terpaksa menunggu untuk kereta masuk keluar tempat parking. Oleh itu, boleh dikatakan tahap kesabaran orang Brunei memang mengagumkan.


Pastinya ada orang yang berfikiran sempit yang akan mengatakan Brunei bolehlah melaksanakan undang-undang ketat kerana negaranya kecil. Ini pemikiran sampah yang saya tidak boleh terima kerana jika negara besar, besarkan tenaga kerja dan enforcement nya. Belajar dari negara yang melaksanakan suatu undang-undang dengan baik. Terutamanya berkaitan dengan ketenteraman dan kedamaian kawasan awam. Sepertinya, jika anda tahu yang anda akan menjemput 1000 atau hanya 50 orang untuk majlis perkahwinan, pastikan makanannya cukup. Besar periuk nasi, banyaklah nasi yang boleh dimasak.


Selain negara saya yang harus saya cintai, saya amat meminati negara ini. Saya bersyukur anak-anak saudara saya warganegara sana kerana mereka mendapat pelbagai kelebihan dan kemudahan. Cuma, sesekali berasa sedih juga kerana terpaksa berjauhan dengan adik kembar saya dan anak-anak saudara saya. Saya juga bersyukur, kami sekeluarga berpeluang untuk sering ke sana dan adik kembar saya sekeluarga sering pulang ke Malaysia.


 Cerita saya dientri kali ini hanyalah sekadar berkongsi kebaikan. Harap anda mendapat info yang baru hari ini.

Terima kasih kerana membaca dan Assalammualaikum.


Michacl Rose @ Suffiya Rose
@suffiyarosenco
#suffiyarose


All Rights Reserved 2018
Suffiya Rose
Penulis ebook tentang jodoh bertajuk Enjoy! Kembara Bertemu Bahagia