Check out my Ebook & other Digital Products

Saturday, January 6, 2018

Sudahkah anda betul-betul bersedia untuk ditemukan dengan jodoh anda?



Sesiapa yang masih single pastinya ada keinginan untuk berumahtangga. Jika tiada keinginan, pasti adanya perasaan untuk memiliki teman sehidup semati. Untuk pengetahuan anda yang masih belum berumahtangga tetapi berkobar-kobar untuk menikah. Bertemu jodoh itu adalah satu tanggungjawab yang besar. Benar, tanggungjawabnya besar, tetapi pahalanya juga besar jika anda bersabar melayari bahtera perkahwinan kerana Allah swt.

Kenapa apabila kita menikah, separuh dari agama kita telah lengkap?
Ini adalah kerana tanggungjawab dan ganjaran yang datang bersama pernikahan itu sangat besar. Juga, kita terpelihara dari pelbagai dosa maksiat akibat dari kegagalan mengawal diri kita. Saya tidak mengatakan yang orang yang masih single tidak tahu untuk mengawal diri. Orang yang masih single tetapi menjaga maruah diri, menjaga ibu bapa sebaiknya, menjalankan perintah Allah swt sepenuh hatinya, mereka juga lengkap hidupnya. Hanya kerana belum menikah, tidak bermakna tidak lengkap. Semasa saya masih bujang, saya rasa hidup saya lengkap. Itu yang penting.

Cuma, setelah menikah, hidup kita menjadi lebih lengkap dari sudut mempertingkatkan lagi keyakinan pada Allah yang tanggungjawab baru ini akan menjadikan kita Muslim yang lebih hebat dan hebat.

Perkahwinan mengajar erti kesabaran ditingkat yang lebih tinggi. Anda akan kagum dengan kesabaran anda. Semasa anda single, memang anda telah bersabar dan menunggu dengan yakin yang jodoh anda akan ditemukan oleh Allah. Tetapi setelah menikah, anda akan ketahui bahawa tingkat kesabaran yang anda sedang dan akan lalui adalah lebih hebat lagi. Saya membujang sehingga berumur 37 tahun. Dalam menjalani hidup sebagai seorang dewasa, ditambah pula kematian ayah diusia 26 tahun dikala saya masih memerlukan kasih sayang dan sokongan seorang ayah, saya telah memikul tanggungjawab menyara keluarga pada ketika itu. Bayangkan, dari sokongan yang penuh dari seorang ayah kepada seorang diri menyara keluarga terkapai-kapai membuat keputusan dan mencari rezeki. Saya bernasib baik kerana ibu dan adik beradik saya sangat menyokong satu sama lain. Di ketika itu, kembar saya masih menjalani Chambering dan belum mempunyai pendapatan. Adik bongsu saya pula sedang menunggu keputusan SPM. 

Apa yang saya ingin sampaikan adalah, saya menjalani kehidupan single dan membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk diri dan keluarga pada ketiak itu dan yang paling penting tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu ketika saya berkahwin, saya menalami 'culture shock' atau kejutan budaya yang amat teruk dek kerana keinginan saya dalam membuat keputusan tidak lagi dapat saya turuti secara total.

Saya mula nampak betapa besar tanggungjawab saya dan ia memerlukan saya menerima teguran. menerika nasihat, mengikut dan taat kepada suami walaupun kadangkalan saya tidak bersetuju dengan keputusan suami saya. Tetapi, atas dasar menikah kerana Allah, saya cari cara bagaimana untuk taat kepada suami dan pada masa sama tidak menyinggung perasaan ibu dan ahli keluarga saya. Ya, perkahwinan itu adalah gabungan dua keluarga. Keluarga anda di top-up secara automatik ketika anda menerima nikah suami anda. Tiba-tiba anda mempunyai segerombolah ipar duai yang perlu dijaga hatinya. Kata-kata dan tindakan anda diperhati dan anda menjadi lebih berhati-hati. Di rumah ibu bapa mertua, tidak boleh bangun pukul 12 tengahari, nanti dipandang serong dan sebagainya. Betul tak? Tapi mungkin ramai juga mertua yang ' cool' dan 'sporting' tidak kisah jika menantu tidak masak, tidak bangun 6 pagi, tidak basuh baju dan sebagainya. Alhamdulillah, mertua saya begitu orangnya.

Pendek kata, saya tidak dapat menerima banyak perkara setelah menikah. Tetapi, saya sentiasa mengingatkan diri saya yang saya berkahwin kerana Allah dan saya akan bersabar walau apa yang mendatang. Alhamdulillah saya dan suami sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari cara untuk memahami satu sama lain, menerima kekurangan dan menyokong satu sama lain.

Oleh itu apa dia SIFAT UTAMA yang menyebabkan dua orang sanggup menghadapi apa sahaja bersama-sama dalam melayari alam perkahwinan? SABAR.

Apa pula GAM atau PELEKAT yang menyebabkan dua orang sanggup sabar dalam melayari alam rumahtangga? TAQWA kepada ALLAH.

Apa pula elemen yang menyebabkan dua orang taqwa kepada Allah? SAYANG.

Mintalah Allah yang memegang hati suami atau isteri kita agar kekal SAYANG pada Allah. Bila kita saya padaNYA, DIA akan membantu kita dalam melayari bahtera yang besar iaitu Bahtera Perkahwinan dengan baik walau dilanda badai.


Saya bukan berniat untuk melunturkan semangat anda yang masih single agar berfikir dua kali untuk berumahtangga. Niat saya adalah supaya anda TAHU APA NIAT SEBENAR ANDA UNTUK MENIKAH. Saya ada menyentuh perkara ini didalam ebook saya Enjoy! Kembara Bertemu Bahagia sudah berada dipasaran.

Apa yang anda impikan dan mahukan akan anda kecapi dengan adanya sayang dan sabar. Dasar sayang dan sabar adalah Allah. Kahwin lah atas sebab-sebab yang betul dan mendapat redha Allah.
Jika anda ingin menikah kerana hendak tutup mulut orang, baik anda kekal bujang.

Orang berkahwin muda, cabaran utama pernikahan adalah dalam mencari keperluan asas berkeluarga. Kereta, rumah, bergaji bagus, ambil pinjaman, sambung belajar dan sebagainya.
 Orang yang berkahwin agak berumur, cabarannya adalah bagaimana untuk mencapai persetujuan dua minda, dua falsafah, dua latar belakang yang berbeza. Bagaimana mencapai persetujuan dalam menjalani alam perkahwinan dengan dua pendapat yang berbeza. Oleh itu, setelah menikah, saya diketika itu 37 dan suami saya 42 belajar setiap hari bagaimana cara untuk mencapai persetujuan dengan pendapat dan buah fikiran yang berbeza. Cantiknya perkahwinan seperti kami ini, kami lebih bersabar dan tidak terburu-buru dalam berkata dan membuat keputusan. Ini pendapat saya berdasarkan pengalaman saya. Anda tidak perlu bersetuju dengan saya kerana mungkin anda melalui pengalaman yang berbeza. Cumanya, paksi kesabaran adalah Allah.


Akhir kata, tanya diri anda, sudahkah anda betul-betul bersedia untuk ditemukan dengan jodoh anda?
Get to know Allah, get to know yourself and you will know that you are ready. You just knew it when you meet Mr or Ms Right.

Ya Allah, temukanlah aku dengan jodoh yang telah Kau tetapkan untukku dalam pernikahan yang menjadikan aku Muslim yang lebih taat kepada MU... Amiiin...


Suffiya Rose
All Rights Reserved 2018


IG: #jodohquotes dan #islamicquotesndesigns


FB Page kami

Dapatkan ebook kami dan baca review tentang buku di FB Page kami

























No comments:

Post a Comment