Check out my Ebook & other Digital Products

Monday, February 20, 2012

Ayuh! Anda boleh berubah..Bahagian 3


Konsisten   
“Amal kebajikan yang disukai Allah ialah sentiasa dilakukan walaupun sedikit”- sabda Rasullulah s.a.w
(Riwayat Bukhari)



 

Hadis diatas menyatakan tentang betapa Nabi Muhammad menyeru agar Umat Islam sentiasa konsisten di dalam melakukan perubahan yang baik. Iaitu sentiasa mengenalpasti apa kekurangan dan kelemahan kita agar dapat diperbetulkan kearah yang lebih baik lagi.                    

Konsisten dalam erti kata lain dikenali sebagai Istiqamah. Istilah ini paling dicintai oleh Rasullullah. Sifat konsisten sebenarnya adalah satu sifat yang menceritakan tentang karakter seseorang insan itu secara total. 
Saya mula menanamkan sifat konsisten apabila saya inginkan perubahan kerjaya dari seorang Eksekutif kepada Pengajar beberapa tahun yang lalu, saya tahu saya tidak akan berpatah balik dan jalan yang akan saya tempuhi adalah jalan sehala, tidak boleh ‘reverse’ lagi.

Mari kita lihat betapa konsistennya kejadian siang dan malam. Saling mengekori dan berselang seli antara satu sama lain, selapas siang, munculnya malam, selepas malam, munculnya siang. Bayangkan apa akan jadi kalau tiba-tiba siang merajuk dan tidak mahu muncul? Kita akan mengeluh, bila siang akan datang? Malam resah menunggu sebab ‘shift’ dia sudah tamat. Kita pun tidak perlu bangun pagi dan tidak perlu bekerja, alangkah peliknya. Jika malam pula merajuk, kita semua terpaksa bekerja tanpa henti kerana malam tidak kunjung tiba.

Begitulah pandangan manusia terhadap sifat konsisten ini. Jika seseorang itu konsisten, dia dipandang tinggi kerana tidak berputus asa dalam usahanya.

Tetapi jangan salah sangka, konsisten disini merujuk kepada perubahan yang membawa kepada keaadaan yang lebih baik kepada pembuat keputusan untuk berubah, bukan konsisten didalam melakukan perkara yang negatif atau bertentangan dengan ajaran agama.            

Info wow!
Kelajuan setiap titis air hujan dari awan tidak melebihi 8 meter sesaat.


Lihat Info Wow di atas , tidak terkira berapa banyaknya titisan hujan setiap kali turunnya hujan. Setiap titis mempunyai kelajuan yang konsisten dari segi masa dan jarak. Maka, konsisten juga menjana kehebatan.

Konsisten amat berkait rapat dengan sukan terutamanya sukan balapan atau acara padang amat diminati oleh setiap golongan masyarakat. Kita mengagumi betapa tangkas, kemas, laju dan penuh tekad yang di jana oleh pelumba lari dalam acara larian. Pernah kah kita melihat pelumba lari yang walaupun mengetahui akan mendapat tempat paling tercorot berhenti sebelum tiba ke garisan penamat? Tidak pernah bukan? Ini kerana adalah lebih memalukan dan hina untuk menyerah kalah dengan berhenti sebelum tiba di garisan penamat. Ini menunjukkan pelumba lari hanya kenal erti konsisten dalam larian walaupun tiada harapan untuk mendapat pingat.

Ambil satu lagi contoh, katakan anda gemar berkunjung ke sebuah kopitiam kerana kelazatan dan keharuman kopinya. Tukang buat kopi itu adalah seorang makcik yang manis senyumannya dan periang orangnya. Kopi yang dibuat makcik periang itu sangat sedap. Tiba-tiba satu hari kopi makcik periang itu berubah rasanya. Tidak sesedap seperti biasa, kurang gula dan sangat cair. Anda mula tertanya-tanya dan anda juga berasa kecewa. Begitulah diibaratkan betapa pentingnya konsisten jika kita ingin melakukan sesuatu perubahan.

 Dapat disimpulkan bahawa konsisten dilihat sebagai satu sifat mulia. Jika kita tidak konsisten didalam menjalankan perubahan yang kita inginkan, kita telah mengecewakan orang lain, malah lebih sedih lagi kita telah mengecewakan diri kita sendiri. Ini kerana, kita tidak akan tahu apa hasil yang akan kita dapati nanti, maka perubahan yang dimulakan dengan rasa berkobar-kobar akan mati ditengah jalan.

   
 Apabila kita membuat perubahan, konsisten dilihat amat penting kerana ia melambangkan satu tahap keyakinan yang tinggi yang terdapat didalam hati. Saya akan menceritakan tentang elemen Keyakinan didalam penulisan seterusnya.

Bersambung..

Hakmilik Terpelihara Rosita Arman Michael 2012 

No comments:

Post a Comment