Check out my Ebook & other Digital Products

Sunday, February 12, 2012

Ayuh! Anda boleh berubah..Bahagian 2

 



Niat
‘Setiap sesuatu itu tergantung pada niat’


Nabi Muhammad s.a.w

Apa yang harus anda lakukan sebelum memandu kereta? Mestilah anda akan hidupkan enjin dahulu dengan menggunakan kunci kereta. Pasang niat adalah seperti hidupkan enjin kereta.

Kepada mereka yang beragama Islam, kenapa bila kita berpuasa kita tidak berasa lapar dan dahaga? Malah lebih ligat dan lebih kuat kudrat kita dalam menjalankan aktiviti seharian kita. Kita boleh bekerja, berbelanja di bazaar dan memasak pelbagai juadah. Hebat bukan?

NIAT bukan sahaja bertindak sebagai menghidupkan enjin kereta, tetapi ia sebenarnya bertindak sebagai suis. Bila kita berniat dengan adab yang sepatutnya, kita telah menghidupkan suis. Iaitu menghantar arahan ke seluruh sel dalam badan agar mula untuk tidak minum dan makan.

Bermula dengan niat, seluruh anggota badan memahami arahan dan mula untuk menjaga mulut, mata, telinga, hati, minda, tangan, kaki dan jiwa agar mendapat puasa penuh. Setiap hari berpuasa adalah satu perperangan yang sengit, dan elemen yang memastikan kita memenangi perperangan tersebut adalah NIAT, dan kita memasang niat dengan cara sedar dan menginginkannya. Adakah anda perasan apabila bukan bulan Ramadan, katakana anda terlupa makan tetapi badan berasa lemah, tangan mula menggeletar kerana kelaparan. Kita tidak berniat untuk menahan makan. Begitulah pentingnya niat.

                                                     Info wow!
                              Hati menghubungkan 100 trillion sel  didalam badan kita satu persatu!


Pernahkan anda berniat untuk menguruskan badan? Saya pasti ramai antara kita memasang angan-angan yang dianggap hebat ini. Saya mula berangan-angan untuk turunkan berat badan lebih kurang 8 tahun lepas. Tetapi saya mula secara rasminya memasang NIAT hanya setahun yang lalu.

Bayangkan, angan-angan tanpa niat selama lebih kurang 8 tahun, apa yang saya fikirkan pada waktu itu? Ramai antara kita pasti pernah memulakan atau melakukan kerja-kerja menguruskan badan, tetapi tidak berjaya. Mengapa? Ini kerana kita tidak betul-betul berbual dengan diri kita dan ambil tahu apa yang kita benar-benar mahukan. Kita keliru, kita mahu kurus tapi tidak mahu bersenam. Kita mahu kurus tetapi makan nasi briyani atau makanan segera 2-3 kali seminggu.

Oleh itu, wujud perperangan antara nafsu makan dengan niat. Saya juga mengaku, bukan mudah untuk kurangkan makan kerana terkadang saya jatuh tersungkur dek keinginan makan makanan sedap. Tetapi, yang pastinya apabila saya betul-betul menghidupkan suis untuk berubah, seluruh badan saya dengan akurnya mengikut arahan niat di hati saya.

 Anda pasti pernah bertemu dengan kawan-kawan atau mempunyai ahli keluarga yang sedemikian, tindakan tidak selari dengan apa yang mereka inginkan. Adakah mereka sentiasa menghidupkan dan mematikan suis? Anda sendiri berasa keliru dan juga ada perasaan menyampah. Hakikatnya, ini adalah kerana mereka tidak benar-benar cuba menghidupkan suis yang dikenali sebagai NIAT. Apa yang mereka cuba hidupkan hanya angan-angan untuk menampakkan diri mereka ‘cool’.


Realitinya juga, kita suka menyebut-nyebut tentang perubahan. Tanpa disedari, ramai antara kita bersifat seperti tin kosong. Bunyi sangat kuat apabila di ketuk kerana sudah kehabisan biskut atau apa sahaja isi kandungan tin itu. Oleh itu, NIAT haruslah di sebut di mulut, di tetapkan didalam hati kerana hanya dengan itu ia akan di janakan dalam bentuk tindakan dan dapat dilihat dengan jelas perubahannya.

 
Satu lagi kehebatan niat ialah apabila kita sudah tetapkan di hati dan diminda, niat itu akan jadi kenyataan walaupun kita belum memulakan sebarang tindakan. Sebagai contoh, anda telah berniat untuk membelikan sebuah hadiah kepada rakan atau ahli keluarga anda, tetapi anda tidak cukup duit untuk membeli hadiah yang sesuai . Tiba-tiba satu hari ada rakan anda teringat untuk membayar balik wang yang anda pinjamkan kepadanya, betapa seronoknya hati anda kerana sekarang anda dapat membeli hadiah yang anda inginkan.

Didalam ruang Info Wow diawal topik niat ini, ianya mengiyakan sebuah hadis. Rasullullah s.a.w bersabda:-
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

Sekarang kita boleh fahami apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad. Hati yang menyambungkan setiap satu sel di badan kita dan jika hati itu rosak, sel-sel yang disambungkan juga akan rosak kerana ia berkait antara satu sama lain.

Saya berkelulusan didalam bidang Pengurusan Hartanah dan bekerja sebagai Eksekutif Penilaian Harta dari tahun 1998 sehingga 2004. Walaupun begitu, pada masa itu saya sudah mula menyimpan hasrat dan niat bahawa satu hari nanti saya akan dapat menjadi seorang Pengajar. Semua bermula apabila saya  terpaksa menawarkan khidmat menjadi cikgu selama sehari disebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pada tahun 1995. Ketika itu saya didenda oleh pihak kolej kediaman di Universiti tempat saya belajar kerana tidak memenuhi syarat untuk mendapat bilik kediaman. Pengalaman tersebut telah membuka minda dan hati saya tentang keseronokan profession mengajar.

Pada tahun 2004, saya patah hati kerana tidak berjaya melepasi temuduga terakhir untuk melayakkan saya mendapat lesen Penilai Harta.Tiba-tiba terdetik kembali niat yang telah lama saya pasang suatu masa dahulu, maka saya mulakan langkah untuk mengubah kerjaya kepada seorang Pengajar.

Niat untuk berubah sudah dipasang, maka seterusnya saya harus fokus ke satu bidang mengajar dan saya memilih untuk mengajar di peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

Bersambung...
Hakmilik Terpelihara Rosita Arman Michael 2012

No comments:

Post a Comment