Check out my Ebook & other Digital Products

Tuesday, March 22, 2011

Apabila siKaya menasihati siMiskin supaya bersabar

Seringkali kita melihat di paparan televisyen dengan rancangan keIslaman yang mana panel-panel berkobar-kobar dan penuh bersemangat menasihati umat Islam. Isi kandungannya berulang-ulang dan setiap kali penceritaannya sama . Begitu juga di dada-dada akhbar dan juga majalah-majalah, perkara yang sama dan nasihat yang sama. Yang membezakan hanya penulisnya atau penceramahnya.

Berbalik kepada panel-panel yang sentiasa memberi nasihat, mereka jika dilihat dari mata kasar, memang mempunyai kedudukan tinggi di mata masyarakat. Memang sudah pasti mereka harus berkedudukan tinggi, barulah orang ramai akan mempercayai kata-kata hikmah mereka.

Tetapi pernah kah kita terfikir mengapa apa yang di nasihatkan atau yang di lontarkan seolah-olah tidak dapat di serap malah merasakan seperti mereka tidak cuba memahami apa realitinya? sepertinya apa yang mereka katakan itu hanya 'syok sendiri'?

Bagaimanakah orang yang tak pernah susah, tak pernah miskin, tak pernah tak cukup duit memahami akan penderitaan dan kehidupan orang yang susah, orang yang menjaga ahli keluarga sakit kronik, orang yang menjaga keluarga cacat, orang yang mempunyai keluarga yang ramai, orang yang sakit kronik, orang yang di landa musibah?

Bagaimanakah orang yang kelihatan kaya itu menasihati orang yang susah atau miskin tentang kesabaran? tentang jangan berputus asa apabila di landa musibah?

Adakah penasihat-penasihat kaya itu memahami apa perasaanya apabila hanya tinggal RM 3.00 dalam
dompet untuk bekalan seminggu lagi?

Adakah mereka memahami bagaimana rasanya apabila menjaga ibu bapa yang sakit tetapi tidak mempunyai wang untuk mendapatkan rawatan?

Adakah mereka memahami bagaimana rasanya apabila tiada wang untuk menghantar anak-anak belajar?

Adakah mereka memahami perasaan apabila tiada wang dan terpaksa menanggung ahli keluarga yang sakit teruk?

Adakah mereka memahami perasaan dan keseksaan yang dialami oleh mualaf-mualaf yang ikhlas mencari cinta ALLAH?

Adakah mereka memahami bagaimana perasaan apabila dipandang hina hanya kerana menjadi miskin?

Adakah mereka memahami bagaimana seksanya menaiki pengangkutan awam yang mana hanya orang yang terpaksa dari sehari ke sehari menggunakannya yang fahami susah payahya untuk ke dan pulang dari tempat kerja?

Adakah mereka memahami kesusahan dan kepayahan orang-orang miskin tegar di bandar, mereka ini adalah orang-orang seperti anda semua dan saya juga, yang bekerja keras dan hanya mampu hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dari sehari ke sehari?

Jawapan kepada semua persoalan diatas mungkin berbeza mengikut pandangan individu. Tetapi hakikatnya, penasihat-penasihat Agama atau orang-orang yang dikatakan orang atasan :-

Yang duduk di kerusi empuk,
Kerja di dalam bilik pejabat yang sejuk,
Mungkin tidak pernah menjenguk orang susah,
Menaiki kereta mewah yang harganya hanya mencecah setengah juta,
Jarang sekali melakukan kerja rumah kerana ramai amah dan bibik yang membantu,
Yang bekerja hanya 5 jam sehari itupun selepas ditolak masa makan dan minum pagi petang,
Yang mempunyai ramai pembantu di pejabat
Yang tidak perlu membawa cash kerana memiliki berpuluh-puluh credit dan debit cards,
Yang tidak pernah ingin bertegur sapa dengan tukang sapu sampah, tukang jaga bangunan dan segala
macam tukang kerana ingin menjaga 'standard'?


Mari kita lihat bagaimana Rasullullah s.a.w pula tentang bagaimana Baginda menyebarkan Islam.
Iaitu dengan kelembutan dan yang paling penting Baginda boleh membuat sesiapa sahaja rasa ada kaitan dengannya.

Kita tahu yang kisah hidup Rasullulah s.a.w penuh dengan ujian dari ALLAH. Sedari kecil sudah tidak beribu dan berayah, Baginda memahami perasaan anak-anak yatim. Zaman kanak-kanak dan remaja Baginda, beliau mengikuti pakcik dan datuknya berniaga, beliau belajar berniaga dan berdikari. Mengahwini seorang janda yang merupakan seorang usahawan berjaya dan memahami segala-nya tentang kesusahan dalam perniagaan. Sepanjang perjalanan hidup Rasullullah s.a.w penuh ranjau dan Baginda belajar dari semua itu.
Nah, itulah antara sebab mengapa perjuangan Rasullullah berjaya. Disebabkan Baginda memahari perasaan tentang susah, senang, seksa, rindu dan sebagainya itu, maka Baginda berjaya dalam dakwahnya walaupun mengambil masa berpuluh tahun untuk menyampaikan Kalam ALLAH kepada umat manusia.
Betapa kita sebagai umat Islam dan umat manusia patut berterima kasih kepada Rasullullah s.a.w

Jadi, apa pula pandangan saudara?

Mungkin saudara akan mengatakan yang saya ini berat sebelah atau 'bias'. Tetapi, saya tidak memaksa sesiapa untuk bersetuju dengan apa yang saya tulis. Manakala tentang pandangan pula, sebagai manusia kita membina pandangan hasil dari pengalaman hidup. Oleh itu, tidak ada sesiapa yang betul atau salah.
Tetapi tujuan saya menulis adalah membawa saudara cuba fikir mengapa teguran-teguran dan nasihat-nasihat, ceramah-ceramah dari orang-orang kaya itu semakin ligat dan menjadi-jadi sedangkan hakikatnya, apa yang ditegur itu juga menjadi-jadi, malah bercambah-cambah dan merebak dengan pantasnya.

Persoalannya, takkan nasihat-nasihat dan teguran-teguran itu tidak mengubah apa-apa?

Inilah yang dikatakan apabila Si Miskin atau si Orang biasa tidak dapat memahami, merasai dan meresapkan nasihat-nasihat yang cuba disampaikan disebabkan Si Kaya pemberi nasihat tidak memahami dan tidak pernah merasai apa yang Si Miskin lalui......

Wallahualam.....


Apa kata anda?







Hakmilik Terpelihara Rosita Arman Michael 2011

No comments:

Post a Comment